Lebih mudah kait sawit dengan E-cutter
Lebih mudah kait sawit
prev
next
Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menghasilkan produk inovasinya, E-Cutter untuk industri perladangan sawit.
Ia adalah mesin berbentuk kren kecil, padat dan mudah alih untuk membantu memudahkan peladang memetik buah sawit.
Penyelidik UPM dari Fakulti Kejuruteraan, Prof Madya Dr Norhisam Misron berkata, alat ini ialah mesin pencantas elektrik yang digunakan untuk menuai buah dan mencantas pelepah sawit.
Beliau berkata, E-Cutter menggunakan konsep elektrik untuk menggerakkannya berbanding kebiasaannya peladang menggunakan alat mekanikal atau manual untuk menuai dan mencantas pelepah dan buah sawit.
“Kami membangunkan satu sistem yang menggabungkan generator elektrik dan motor bagi menghasilkan E-Cutter. Ia ringan dan kecil, tetapi berkuasa tinggi, malah alat ini juga mudah alih untuk digunakan peladang.
“Teknologi ini berupaya memajukan industri sawit menggunakan inovasi terkini dengan membuat penambahbaikan terhadap teknologi sedia ada bagi memudahkan peladang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Showcase Produk Inovasi UPM, MPOB dan Malaysia Innovation Hub (MIH) di UPM, Serdang, baru-baru ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. Hadir sama, Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Pengerusi MIH, Tan Sri Dr Ghouth Jasmon.
Norhisam berkata, E-Cutter mempunyai daya kilas yang tinggi untuk menahan beban ditanggung mesin berkenaan.
“Daya kilas ini penting untuk memastikan kesesuaian penggunaan mesin berkenaan. Alat ini juga dapat menggantikan penggunaan alatan menuai sawit sedia ada menggunakan kaedah manual daripada galah atau sabit.
“E-Cutter lebih ringan, cekap, jimat tenaga dan mampu memetik kelapa sawit pada ketinggian maksimum berbanding teknologi sedia ada.
“Pokok sawit yang tinggi akan memberi tekanan dan boleh menyebabkan kerosakan pada cantas berkenaan. Mesin ini dapat mempercepatkan proses penuaian sawit, sekali gus dapat meningkatkan hasil tuaian dan kualiti sawit,” katanya.
Menurutnya, penyelidikan yang mengambil masa selama lima tahun itu melalui beberapa proses dan ujikaji, malah sedia untuk dikomersialkan syarikat JWR Technology (M) Sdn Bhd.
Do you have E cutters available for sale please? Contact me on Whatsaap...0176495860
ReplyDelete