Penanaman Sawit Di Malaysia

Penanaman kelapa sawit di Malaysia telah diperkenalkan oleh kerajaan bertujuan untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan penduduk luar bandar. Pada tahun 1960-an, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah membuka tanah-tanah baru untuk diteroka dan dijadikan ladang kelapa sawit. Pembangunan dalam industri kelapa sawit amat memberangsangkan dengan penekanan diberikan kepada penyelidikan bagi menghasilkan kaedah baru dalam teknologi penanaman, penghasilan benih yang berkualiti dan penghasilan produk-produk baru berasaskan kelapa sawit. Kerajaan telah menubuhkan beberapa agensi yang bertanggungjawab ke atas perkara berkaitan tanaman sawit ini. Jabatan Pertanian Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1912, ditugaskan untuk melaksanakan dasar-dasar pertanian yang telah digariskan oleh kerajaan. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pula ditubuhkan untuk mengkordinasi pembukaan tanah-tanah baru manakala Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (PORIM) pula berfungsi untuk memberi tumpuan yang lebih besar dalam usaha-usaha pembangunan dan penyelidikan (R&D) seterusnya meningkatkan pengeluaran. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pula memainkan peranan penting dalam usaha mempromosi dan memperkenalkan faedah dan penggunaan minyak kelapa sawit di mata dunia.
Sebagai pengeksport minyak kelapa sawit yang terbesar di dunia, Malaysia pastinya memiliki formula kejayaan tersendiri untuk memperbanyakkan hasil menerusi usaha pembiakbakaan yang efektif. Dengan memperkenalkan program pembiakbakaan sawit, peningkatan hasil minyak sawit, kualiti minyak dan kadar ketinggian pokok dikaji dan kajian terhadap daya tahan perosak dan penyakit juga dilakukan.
Sedikit statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia tentang tanaman kelapa sawit di Malaysia menunjukkan:-
  • Terdapat seluas 4, 853, 766 hektar tanaman kelapa sawit di  Malaysia pada tahun 2010 berbanding cuma 642, 00 hektar direkodkan pada tahun 1975.
  • Bilangan ladang kelapa sawit pula mencatat angka 4, 370 pada tahun 2010 berbanding 690 pada tahun 1975.
  • Pada tahun 2011, sebanyak 18.91 juta tan minyak sawit mentah telah dihasilkan, iaitu 11.3% lebih tinggi jika dibandingkan dengan pengeluaran pada tahun 2010.
  • Negara tembok besar China merupakan negara pengimport utama minyak sawit mentah negara kita. Pada tahun 2010, kadar eksport ke negara China adalah sebanyak 11.37 juta tan atau 68.2% daripada eksport minyak sawit Malaysia untuk tahun 2010.
Jika dilihat ketika berlakunya krisis kewangan dunia pada tahun 1997/1998, industri sawit telah mampu menyelamatkan ekonomi negara. Pada ketika itu, industri sawit telah dapat kekal berdaya saing dan telah memainkan peranan sebagai penyelamat ekonomi negara. Permintaan terhadap minyak sawit mentah dan produk berkaitannya terus kukuh walaupun keadaan ekonomi pada ketika itu tidak stabil.
Kemampuan negara dalam memenuhi kehendak pasaran dunia juga amat bergantung kepada produktiviti pengusaha ladang kelapa sawit yang mana kebanyakannya adalah pekebun kecil atau peneroka. Walau bagaimanapun, produktiviti sawit bergantung kepada usia tanaman itu. Bagi memastikan keberkesanan dalam pengeluaran hasil yang lebih tinggi, peneroka ladang kelapa sawit telah disarankan supaya melakukan penanaman semula ke atas pokok-pokok sawit yang sudah berusia lebih 20 tahun.

Comments

Popular posts from this blog

Kos penanaman kelapa sawit 10 ekar

JENIS BAJA UNTUK KELAPA SAWIT

NILAI KEMASAKAN BUAH SAWIT